Gambar : BSPTD Kuantan

KUANTAN – Padah memandu di bawah pengaruh alkohol, seorang lelaki berusia 59 tahun ditahan polis dalam Op Mabuk yang dijalankan di sekitar Lorong Alor Akar 1, Jalan Haji Ahmad dan Jalan Beserah, di sini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, suspek ditahan selepas didapati positif ketika menjalani ujian saringan kerana melebihi paras alkohol yang dibenarkan.

Katanya, lelaki itu kemudian menjalani ujian kedua menerusi alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II) di Balai Polis Trafik Kuantan, di sini dan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mohd Adli berkata, operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan bermula jam 10.30 malam pada 3 Julai sehingga jam 2 pagi 4 Julai lepas.

Beliau memberitahu, sebanyak 110 kenderaan diperiksa dalam operasi itu di mana 108 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap kereta (56), motosikal (10), kenderaan pelbagai guna (MPV) (19), Jip (16) dan lain-lain (7).

“Dalam operasi itu, sebanyak 86 saman telah dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 170A Kanun Keseksaan iaitu memandu laju,” katanya.

Mohd Adli menegaskan, operasi terbabit akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak memandu selepas mengambil alkohol dan sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast