KUALA LUMPUR – Polis menembak mati dua lelaki disyaki penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di sekitar Jitra, Kedah hari ini.
Difahamkan insiden itu sekitar 8 pagi di susur keluar Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Bandar Darul Aman.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh yang ketika mengesahkan kejadian itu berkata, sebelum kejadian, anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.
Bagaimanapun, suspek tidak memberi kerjasama, sebaliknya melepasakan tembakan ke arah kenderaan polis dan berlaku berbalas tembakan.
Menurutnya, suspek-supek berkenaan maut di tempat kejadian.
Pada sidang media, beliay berkata, pemeriksaan awal polis menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan separa automatik serta beberapa butir peluru hidup.
Malah, sebilah parang dan beberapa peralatan untuk menjalankan kegiatan jenayah juga ditemui.
“Polis percaya mereka terlibat dalam jenayah kekerasan sejak tahun 2020 termasuk pengedaran dadah, gengsterisme, samun, pecah kilang,” ujarnya.
Menurut beliau, salah seorang suspek berusia 41 tahun mempunyai 40 rekod jenayah lampau manakala identiti seorang lagi belum diketahui.
Mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, BERNAMA melaporkan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus yang berada di lokasi kejadian berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai sebahagian daripada kumpulan yang terlibat dengan pelbagai jenayah berat.
“Kita sedang siasat sama ada suspek-suspek ini terlibat dengan kumpulan penjenayah di Klang, Selangor. Kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai lebih 30 ahli dan polis akan mengambil tindakan lebih agresif,” katanya. – MalaysiaGazette
















