Anwar Ibrahim Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2025.

Oleh: Dr Ahamad Jama’ Amin Yang

KEBANGKITAN semula Anwar Ibrahim ke tampuk pemerintahan negara sesudah lebih dua dekad perjuangan politik yang berliku bukan semata-mata pertukaran watak dalam sistem kekuasaan, sebaliknya merupakan medan ujian paling signifikan terhadap ketahanan idealisme dalam kerangka kuasa yang diwarisi. Sepanjang tempoh perjuangannya, Anwar tampil sebagai perwatakan politik yang mewakili wacana keadilan, reformasi institusi dan pemulihan tatakelola negara. Namun, sebaik sahaja kuasa berada dalam genggamannya, idealisme yang dibentuk melalui naratif perjuangan mula diperhadapkan secara langsung dengan realiti sistem yang sarat dengan pengekalan struktur lama dan ketundukan institusi terhadap dominasi eksekutif.

Dalam kerangka politik pascakolonial yang masih tertambat pada akar autoritarianisme terselindung serta ketempangan institusi yang disengajakan, keberhasilan politik tidak boleh lagi dinilai sekadar pada keupayaan membentuk kerajaan, tetapi harus ditentukan melalui keberanian memutuskan kitaran kelangsungan kuasa yang bersifat kosmetik. Oleh yang demikian, penilaian terhadap kepimpinan Anwar mesti berpusat pada sejauh mana prinsip-prinsip reformasi yang digagaskannya benar-benar diterapkan sebagai asas pemerintahan dan bukannya dijadikan instrumen justifikasi dalam sistem yang menolak perubahan substantif.

Reformasi diuji realiti kekuasaan
Kedudukan Anwar Ibrahim dalam struktur pemerintahan pasca-2022 memperlihatkan ketegangan yang tidak dapat dielakkan antara prinsip perjuangan dan realiti pentadbiran. Sebagai tokoh yang selama ini mengangkat gagasan reformasi sebagai wacana pembebasan institusi dan pemulihan demokrasi, pelantikannya sebagai Perdana Menteri menerusi pembentukan kerajaan campuran merentas ideologi telah menimbulkan persoalan kritikal tentang kesetiaan kepada prinsip asal. Pilihan untuk bergabung dengan parti-parti yang dahulunya mewakili kuasa lama tidak sekadar menandakan pelarasan strategi, tetapi menyerlahkan kekangan mendasar yang bersifat sistemik dalam struktur politik negara.

Kerajaan yang dibentuk bukan hasil mandat jelas daripada rakyat, tetapi produk rundingan elit yang memerlukan pertukaran kesetiaan demi membentuk majoriti yang stabil. Dalam konteks ini, idealisme yang memperjuangkan keadilan institusi dan pemisahan kuasa mula diuji oleh tekanan untuk mengekalkan kelangsungan kuasa dalam persekitaran yang rapuh. Ketidakselarasan antara nilai yang dilaungkan dan realiti kuasa yang diurus menimbulkan paradoks dalam watak kepimpinan Anwar, iaitu pergelutan antara cita-cita untuk merombak sistem dengan desakan untuk menyesuaikan diri dengannya. Inilah dilema utama pemimpin pascakolonial yang terperangkap dalam sistem yang tidak mengizinkan transformasi radikal tanpa risiko kehilangan legitimasi politik.

Idealisme terperangkap dalam sistem
Kerangka Ekonomi Madani diperkenalkan sebagai wacana pembangunan baharu yang cuba menyatukan pertumbuhan ekonomi dengan keadilan sosial. Namun, pelaksanaannya masih terikat kepada logik ekonomi pasaran bebas, yang terus bergantung pada pelaburan asing sebagai penggerak utama pembangunan. Kebergantungan ini mengekalkan dominasi modal besar dan melemahkan upaya memperkukuh keupayaan ekonomi domestik.

Paradoks ini memperlihatkan jurang antara idealisme dasar dengan realiti pelaksanaan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Madani benar-benar bersifat reformis atau sekadar mengulangi pendekatan lama dalam bingkai retorik baharu. Tanpa anjakan terhadap asas pemikiran ekonomi sedia ada, ideal keadilan sosial berisiko menjadi pelengkap retorik, bukan asas perubahan.

Lebih mendasar daripada persoalan keberkesanan pelaksanaan ialah pertanyaan tentang sejauh mana kerangka ini mampu mengubah ketidakseimbangan struktur yang telah lama berakar. Harold Crouch berhujah bahawa dominasi kuasa eksekutif dalam sistem politik Malaysia menyebabkan sebarang perubahan yang tidak menstruktur semula kekuasaan berisiko menjadi sekadar pembaikan luaran tanpa kesan transformasi yang mendalam.

Keadaan ini terserlah melalui gerak langkah reformasi institusi yang masih bersifat terhad dan belum menunjukkan keberanian untuk menyentuh akar permasalahan secara menyeluruh. Kegagalan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, pengekalan pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan, serta keengganan menyemak undang-undang bersifat represif menunjukkan bahawa reformasi belum mampu menjangkaui paras permukaan. Ketiadaan tindakan menyeluruh dalam merombak struktur dominasi kuasa eksekutif menandakan idealisme reformasi masih terpenjara dalam kerangka kekuasaan yang ingin dikekalkan, bukan ditransformasikan.

Kekaburan arah reformasi turut mencerminkan keterasingan antara idealisme yang diungkap dan dasar yang dilaksanakan. Reformasi yang sebenar menuntut lebih daripada perubahan kosmetik atau penjenamaan semula dasar. Ia memerlukan keberanian politik untuk menstruktur semula hubungan kuasa, memperkukuh institusi secara bebas daripada pengaruh eksekutif dan memperluas ruang partisipasi rakyat.

Jika reformasi terus dilihat sebagai instrumen keselesaan politik, bukan sebagai amanah moral dan sejarah, maka kepercayaan terhadapnya akan terhakis. Kegagalan mentransformasikan prinsip menjadi sistem akan memanjangkan ketergantungan kepada gaya pemerintahan lama yang bersifat top-down dan defensif terhadap perubahan.

Dalam konteks ini, kebebasan bersuara dan keterbukaan wacana menjadi ukuran utama sama ada demokrasi bergerak ke arah substantif atau kekal dalam bentuk prosedural. Ruang awam yang bebas dan tidak dikawal oleh kepentingan kuasa ialah asas moral kepada gerakan reformasi. Namun, realiti semasa memperlihatkan bahawa struktur perundangan yang menjamin kebebasan media masih belum terbina.

Akta-akta warisan lama yang memungkinkan tindakan terhadap suara kritikal masih belum dinilai semula secara tuntas, manakala kerangka perlindungan undang-undang terhadap kebebasan bersuara kekal rapuh. Dalam keadaan ini, demokrasi yang wujud lebih menampakkan ciri-ciri kawalan daripada keterbukaan dan masih dibayangi oleh ketakutan institusional terhadap perbezaan pandangan. Dalam banyak komentarnya, Bridget Welsh menekankan kematangan demokrasi bergantung kepada keterbukaan maklumat, ruang wacana yang bebas, serta keupayaan rakyat menyoal kuasa – sebagaimana diutarakan dalam pelbagai analisis politik pasca-reformasi Malaysia.

Reformasi antara keazaman politik dan tuntutan sejarah
Keterbatasan reformasi tidak wajar dinilai secara dikotomi antara kejayaan atau kegagalan mutlak. Kepimpinan Anwar Ibrahim mewakili simbol perjuangan menentang
penyalahgunaan kuasa, namun pencapaian reformasi belum menunjukkan keberhasilan dalam merombak akar struktur pascakolonial yang mengakar sejak merdeka.
Kelewatan ini dipengaruhi oleh realiti kuasa yang menuntut kompromi berterusan, budaya pentadbiran yang tidak berubah, serta ketiadaan keberanian institusi untuk beroperasi secara merdeka.

Reformasi bukanlah hasil keperibadian seorang pemimpin, tetapi proses sistemik yang menuntut iltizam kolektif dan penyertaan institusi serta rakyat. Tanpa daya tahan institusi yang bebas dan masyarakat madani yang berani mempertahankan etika kekuasaan, proses reformasi tidak akan berakar.

Meskipun cabaran reformasi semakin mencabar, peluang sejarah yang dimiliki Anwar Ibrahim tetap signifikan. Beliau berada dalam kedudukan yang unik – memahami sistem dari dalam dan pernah menjadi mangsa sistem itu sendiri. Justeru, sandaran terhadap kepimpinannya tidak harus lahir daripada kultus individu, tetapi daripada keyakinan rasional bahawa prinsip yang diangkat selama ini memiliki keabsahan untuk diterjemahkan secara konkrit dalam bentuk dasar yang adil dan institusi yang berwibawa.

Prinsip keadilan, ketelusan dan pemisahan kuasa tidak lapuk, malah menjadi lebih mendesak dalam konteks hari ini. Sekiranya beliau dapat menyeimbangkan realiti politik dengan keberanian moral, reformasi berpotensi menjadi warisan kenegaraan yang bermaruah. Sejarah akan mengingati mereka yang menggunakan kuasa bukan untuk mengekalkan kekuasaan, tetapi untuk meletakkan asas keadilan yang tahan uji. Di sinilah ujian sebenar terhadap idealisme – sama ada ia akan menjadi asas peradaban baharu atau sekadar naratif yang tidak pernah dituntaskan.

Penulis Pensyarah, Jabatan Sejarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani Kedah dan Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast