TEHRAN – Iran akan berusaha untuk menuntut Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab atas serangan ke atas kemudahan nuclear milik negara ini, kata Ali-Akbar Velayati.
Ali-Akbar Velayati dalam satu kenyataan berkata, Iran akan mengheret isu serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran pada saluran diplomatik dan undang-undang.
“Amerika Syarikat bertanggungjawab atas “jenayah yang tidak boleh diterima ini” dan Washington perlu membayar pampasan atas semua kerosakan material dan spiritual akibat serangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, Iran akan terus terus melaksanakan kemajuan saintifik dan kemerdekaan teknologi, dan tiada kuasa dapat menghalang Iran daripada mencapai haknya yang sah.
Jelasnya, Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan tidak adil ini yang telah menyebabkan kerosakan serius terhadap kemudahan nuklear miliknya.
Tegas Velayati, tindakan jenayah Amerika ini, sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip asas Piagam PBB – khususnya Perkara 2 Perenggan 4, yang menyatakan larangan penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa – pelanggaran terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Iran, bertentangan dengan Resolusi 2231 Majlis Keselamatan, dan mencemarkan Perjanjian Non-Proliferasi Senjata Nuklear (NPT).
Tambahnya, Iran telah beruang kali menegaskan, semua aktiviti kemudahan nuklearnya adalah untuk tujuan aman semata-mata dan beroperasi mengikut komitmen antarabangsa, termasuk di bawah NPT dan pemantauan berterusan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Namun, beberapa kerajaan Eropah gagal membezakan antara hak sah Iran dan tindakan haram musuhnya dengan berdiam diri atau kadangkala memberi sokongan, mereka telah memihak kepada Amerika dan rejim zionis, serta melemahkan prinsip dan norma undang-undang antarabangsa.
“Dengan menggunakan hak sahnya untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap penceroboh, Republik Islam Iran dengan tegas menyatakan bahawa ia akan meneruskan tindakan diplomatik dan undang-undang melalui badan antarabangsa yang relevan, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Serangan ini jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan Setiausaha Agung PBB serta Presiden Majlis Keselamatan harus bertindak mengikut tanggungjawab undang-undang dan etika mereka untuk menguatkuasakan Perkara 39 Piagam PBB – agar penceroboh dikenali, dan tindakan hukuman serta pampasan atas kerugian material dan spiritual diberikan kepada Republik Islam Iran,” ujar beliau. – Agensi
















