Zaid Ibrahim

 

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim menubuhkan kumpulan kecil yang dinamakan ‘Jangan Kencing Rakyat’.

Kumpulan itu bakal menumpukan kepada tujuh sektor utama yang kritikal untuk pemulihan negara dan keadilan sosial.

Menurutnya, sektor-sektor yang menjadi fokus kumpulan yang terdiri daripada warganegara prihatin itu ialah pembangunan satsuma, menangani kemiskinan bandar, pemulihan subsidi, reformasi cukai kekayaan, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana, reformasi GLC dan penswastaan serta membasmi monopoli makanan dan input.

Menurutnya, kumpulan tersebut akan disertai dalam kalangan warganegara prihatin yang akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan merangka isu-isu paling mendesak yang sedang dihadapi oleh negara kita hari ini.

Jelas Zaid, kumpulan ini berhasrat untuk mengemukakan cadangan yang jujur, realistik dan boleh dilaksanakan kepada rakyat, dengan harapan dapat menyatukan dan memaklumkan hala tuju dasar semua parti pembangkang.

“Ada yang menamakan usaha ini sebagai kumpulan “Selamatkan Malaysia”, tetapi saya lebih suka nama yang lebih realistik dan jujur: Kumpulan “Jangan Kencing Rakyat” — kerana sudah tiba masanya kita berdepan dengan kebenaran yang tidak ditapis dan penyelesaian yang praktikal.

“Ini bukan tentang menunjuk-nunjuk. Ini tentang menyatakan kebenaran, mencadangkan dasar yang boleh dilaksanakan, dan memperjuangkan Malaysia yang lebih baik — di mana kuasa berkhidmat untuk rakyat, bukan sebaliknya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengalu-alukan semua yang berkongsi matlamat untuk menyumbangkan idea, tenaga dan harapan dalam perjuangan kumpulan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast