Kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pintasan Bukit Setongkol di sini, malam tadi mengakibatkan empat individu cedera

KUANTAN – Empat individu termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pintasan Bukit Setongkol di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Mohd Adli Mat Daud berkata, tiga daripada mangsa yang cedera dibenarkan pulang manakala seorang lagi masih mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Perodua Myvi dari Tanjung Lumpur melanggar motosikal yang keluar dari simpang ketika lampu isyarat bertukar warna.

“Siasatan awal kemalangan yang berlaku kira-kira 8.45 malam itu mendapati kereta yang dipandu oleh pemandu berusia 29 tahun meneruskan perjalanan walaupun lampu isyarat telah bertukar merah.

”Semua mangsa berusia lapan hingga 32 tahun. Antara kecederaan dialami ialah retak pergelangan kaki dan kecederaan di beberapa anggota badan.

“Manakala seorang wanita yang mengalami kecederaan serius termasuk patah bahu dan gegaran otak, dan seorang kanak-kanak turut mengalami luka ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes masih dalam siasata lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast