Joao Figueiredo. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Penyerang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo diumumkan sebagai tonggak baharu Johor Darul Ta’zim (JDT)  bagi mengharungi musim 2025-26.

Pengumuman itu dibuat JDT di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers hari ini dengan Figueiredo menyarung jersi Harimau Selatan bernombor 25.

“Joao Figueiredo membawa komitmen dan keazaman ke Johor Darul Ta’zim FC,” tulis kelab itu pada kapsyen di media sosial itu.

Pengumuman itu menyaksikan Figueiredo menjadi pemain warisan baharu ketiga menyertai juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu selepas pemain pertahanan Jon Irazabal dan pemain tengah Hector Hevel.

Sebelum ini, JDT mengumumkan empat lagi bintang baharu yang akan memperkuatkan Harimau Selatan musim depan termasuk Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Jairo Da Silva dan Moussa Sidibe.

Sementara itu, Figueiredo menjadi sebutan peminat apabila menampilkan aksi cemerlang ketika tampil buat kali pertama bersama Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, bulan lalu.

Figueiredo mencipta sensasi selepas dia berjaya meledak satu gol selain memberi impak besar untuk membantu skuad negara membenam Vietnam 4-0 pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Pemain berusia 29 tahun itu pernah menyarung jersi beberapa kelab dengan pasukan terakhir diwakili adalah kelab Turkiye, Istanbul Basaksehir yang disertainya sejak 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast