SERDANG – Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada pukul 9.17 pagi memaklumkan kejadian seorang lelaki terjatuh dari bangunan di Pangsapuri Aman Height.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berbangsa Cina berumur 68 tahun yang dipercayai telah terjun dari tingkat empat pangsapuri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut agar tampil bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini bagi mengelakkan kekeliruan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















