Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

KUALA LUMPUR – Tidak pernah ada niat untuk menghapuskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebaliknya mencadangkan agar perjanjian itu disesuaikan supaya lebih relevan dengan perkembangan semasa dan keperluan rakyat.

Bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, dakwaan kononnya beliau mahu menggantikan MA63 dengan perjanjian baharu adalah tidak tepat, berniat jahat dan bertujuan memesongkan fakta.

“MA63 adalah asas pembentukan Malaysia. Ia dokumen penting yang membolehkan Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk persekutuan bersama Tanah Melayu.

“Namun seperti mana-mana dokumen bersejarah, ia tidak kebal daripada tafsiran semula atau penyesuaian mengikut zaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, cadangan tersebut bukan bertujuan menghapuskannya tetapi menyesuaikan semula peruntukan-peruntukan yang kini dianggap kabur, tidak relevan atau gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau turut menekankan perubahan bukan satu bentuk pengkhianatan, sebaliknya satu langkah progresif demi kebaikan rakyat.

“Apa yang kita perlukan bukan sekadar memuja MA63 sebagai simbol, tetapi memastikan manfaatnya benar-benar sampai ke rakyat.

“Jika perlu ada perjanjian baharu atau pelaksanaan semula dalam bentuk lebih tepat dan moden, itu adalah langkah berani dan bukannya menghapus sejarah,” jelasnya.

Pandikar Amin menambah, rakyat Sabah akan terus ketinggalan sekiranya tiada keberanian untuk melakukan penyesuaian terhadap dokumen itu mengikut konteks semasa.

“Apa gunanya kita ulang bicara tentang MA63 setiap tahun, jika rakyat Sabah masih miskin, prasarana masih ketinggalan dan kuasa autonomi hanya menjadi retorik politik semata-mata?” soalnya.

Katanya lagi, beliau tidak tunduk kepada politik nostalgia, sebaliknya berpaksikan kepada realiti kehidupan rakyat yang memerlukan perhatian segera dan tindakan praktikal.

“Sebarang cadangan penyesuaian adalah demi masa depan Sabah yang lebih berdaya saing, bukan untuk menolak sejarah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast