KUALA LUMPUR – Polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan terhadap seorang komposer yang juga pemain gitar kerana disyaki memukul rakan serumahnya menggunakan sebatang besi dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Pandan Indah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kertas siasatan sedang dikemas kini dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal polis mendapati suspek yang juga seorang komposer dan gitaris telah beberapa kali berselisih faham dengan mangsa akibat bunyi bising alat muzik yang mengganggu ketenteraman.
Mohd Azam berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak dan berusia 52 tahun itu telah membuat laporan polis pada 30 Jun lalu selepas diserang sekitar pukul 6.30 pagi.
“Ketika sedang tidur di bilik sewanya, mangsa terjaga selepas terdengar bunyi pintu bilik air dihempas. Tidak berpuas hati, mangsa kemudian keluar dan menghempas semula pintu tersebut,” tambahnya.
Tindakan itu menyebabkan suspek yang berada di bilik bersebelahan bertindak keluar membawa sebatang besi sebelum memukul mangsa.
Suspek ditahan polis kelmarin bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette















