KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Firos Mohamed, penjaga gol legenda Pulau Pinang yang meninggal dunia ketika beraksi pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham dan menyifatkan pemergian Firos sebagai satu kehilangan besar buat komuniti bola sepak negara.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Firos Mohamed. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.















