Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bercakap kepada media mengenai isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara ketika di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2025.

PUCHONG – Seramai sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR)  menggesa supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) (RCI) berhubung isu reformasi institusi dan ketua hakim negara.

Kumpulan itu yang diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, ia kerana keputusan kes mahkamah kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Menurut Rafizi, beberapa maklumat yang kini tular dalam pengetahuan awam perlu dijelaskan segera bagi mengelakkan krisis kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi kehakiman.

“Kita akan memohon prosiding dijalankan jawatan kuasa khas antara lain bagi memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi keterangan kerana soal lantikan ketua hakim negara mengikut Perlembagaan adalah di bawah perdana menteri.

“Ia bukannya dari Kabinet, jadi tiada yang boleh menjawab kecuali perdana menteri. Saya akan menulis secara rasmi kepada pengerusi jawatan kuasa dan setiap anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Puchong Jaya di sini, hari ini.

Rafizi berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007, yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan ketua hakim negara ketika itu.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sebagai ahli Parlimen adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dan pengasingan kuasa di antara tiga cabang Kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Sehubungan itu, Rafizi memaklumkan akan menggerakkan satu kempen dalam kalangan ahli Parlimen untuk mendapat sokongan dari seberapa banyak ahli Parlimen pelbagai parti untuk menuntut perkara (a), (b) dan (c).

“Kami juga akan gerakkan forum awam di seluruh negara untuk memberi kesedaran dan mendapatkan sokongan rakyat bagi perkara (a), (b), (c) dan (d).

“Forum awam yang pertama akan bermula di Kuala Lumpur/ Selangor pada Ahad, 13 Julai jam 8.3 malam sebelum bergerak ke bandar-bandar utama seluruh negara,” jelasnya maklumat lanjut mengenai forum akan diumumkan kemudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast