Nonee Ashirin Mohd Radzi dan Vincent Dubrule menandatangan MOU dan yang disaksikan oleh Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kiri) di Perancis.

KUALA LUMPUR – Airbus Helicopters telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bersama pemain-pemain utama dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan Malaysia.

Perjanjian ini telah ditandatangani di Paris dengan kehadiran Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa lawatan rasmi ke Perancis.

Di bawah perjanjian pertama, Airbus Helicopters dan Gabungan Industri Pertahanan Malaysia (Coalition of Defence Industry Malaysia) – CDI (M) – merancang untuk meneroka peluang industri bersama syarikat-syarikat ahli CDI (M) yang memfokus kepada pembangunan dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan.

MoU ini merupakan yang pertama seumpamanya antara Airbus dan industri pertahanan Malaysia, mewujudkan rangka kerja khusus bagi memacu inovasi, pertumbuhan dan pembangunan helikopter tentera dalam sektor pertahanan tempatan.

Bagi perjanjian kedua, Airbus Helicopters berhasrat untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan MRO tempatan, Global Turbine Asia (GTA), dalam usaha memperkukuh keupayaan MRO komponen helikopter di dalam negara.

Menurutnya, kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkasa ekosistem pertahanan Malaysia serta mempercepat pertumbuhan industri sejajar dengan rancangan negara untuk memperoleh helikopter baharu bagi angkatan tentera dan agensi kerajaan berkaitan.

“Saya berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan industri utama Eropah, berteraskan hubungan kukuh yang telah lama terjalin antara industri aeroangkasa Malaysia dan peneraju global seperti Airbus.

“Kami komited untuk memperkukuh hubungan ini dan meneroka bidang kerjasama baharu demi memastikan inovasi berterusan, pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan,” kata Datuk Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi, Pengerusi Eksekutif Global Turbine Asia dan Presiden CDI (M).

Ketua Asia-Pasifik, Airbus Helicopters, Vincent Dubrule berkata, kerjasama ini menegaskan komitmen jangka panjang Airbus terhadap matlamat Malaysia untuk membangunkan ekosistem pertahanan yang berdaya tahan dan berdikari.

“Ketika Malaysia mempertimbangkan pemerolehan helikopter untuk misi penting seperti sokongan taktikal, operasi mencari dan menyelamat tempur, serta peperangan anti-permukaan, kerjasama ini bertujuan memperkukuh kepakaran tempatan, mempromosikan pemindahan teknologi dan membina keupayaan kendiri.

“Airbus melihat CDI (M) dan GTA sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan sejajar dengan keutamaan ini,” tambah Dubrule. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast