KUALA LUMPUR – Pelabur asing mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM303 juta dalam Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut – kali pertama sejak pertengahan Mei 2025.
Jumlah itu adalah sembilan kali lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya yang hanya mencatat RM33.2 juta, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu berakhir 4 Julai 2025, firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali hari Jumaat dengan aliran masuk harian antara RM23.3 juta hingga RM112.6 juta.
Aliran masuk terbesar dicatat pada hari Khamis, diikuti hari Selasa dengan RM106.8 juta.
Manakala hari Jumaat satu-satunya hari yang mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM6.0 juta
Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih tertinggi oleh pelabur asing ialah ialah utiliti sebanyak RM419.3 juta, produk dan perkhidmatan industri (RM182.8 juta) dan pengangkutan dan logistic (RM98.2 juta).
Manakala tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih tertinggi oleh pelabur asing ialah penjagaan kesihatan (RM177.0 juta), telekomunikasi dan media (RM153.7 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM78.9 juta).
Dalam pada itu, pelabur institusi tempatan turut meneruskan trend pembelian selama tujuh minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM61.0 juta, walaupun lebih rendah berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM142.8 juta.
Pelabur runcit tempatan turut melanjutkan aktiviti jualan bersih asing mereka untuk minggu kedua berturut-turut, mencatat aliran keluar bersih RM363.9 juta, iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada minggu sebelumnya iaitu RM176.0 juta.
Purata volum dagangan harian menunjukkan peningkatan menyeluruh minggu lalu dengan pelabur runcit tempatan +6.6%, pelabur institusi tempatan +36.2% dan pelabur asing +8.2%. – MalaysiaGazette















