Donald Trump Photo AFP

 

MORRISTOWN, New Jersey – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan beberapa perjanjian perdagangan hampir dimuktamadkan dalam masa terdekat dan negara-negara lain akan dimaklumkan mengenai kenaikan kadar tarif baharu menjelang 9 Julai ini.

Tarif baharu berkuat kuasa mulai 1 Ogos.

Trump sebelum ini telah menetapkan kadar tarif asas sebanyak 10% ke atas kebanyakan negara, dan kadar tambahan hingga 50%, tetapi menangguhkan tarikh kuat kuasa bagi semua kecuali kadar 10% sehingga 9 Julai.

Tarikh baharu ini memberi tempoh tangguh selama tiga minggu kepada negara-negara yang terlibat.

Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick mengesahkan tarif lebih tinggi akan dikuatkuasakan pada 1 Ogos, dengan Trump kini sedang menetapkan kadar dan menyusun semula perjanjian.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent memberitahu CNN pengumuman besar berkaitan perjanjian perdagangan bakal dibuat dalam beberapa hari lagi dan perbincangan bersama Kesatuan Eropah menunjukkan kemajuan positif.

Trump juga dijangka menghantar surat kepada 100 negara dengan hubungan perdagangan terhad, memaklumkan mereka akan dikenakan tarif seperti yang diumumkan pada 2 April jika tiada kemajuan dalam rundingan.

Ketua Majlis Ekonomi Kebangsaan White House, Kevin Hassett pula berkata, negara yang sedang merunding secara serius mungkin diberi kelonggaran masa, bergantung kepada keputusan Presiden Trump.

“Ada tarikh akhir, tetapi mungkin ada ruang untuk dilanjutkan jika perlu,” kata Hassett.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi White House, Stephen Miran memaklumkan negara yang membuat konsesi berpeluang menikmati kadar tarif lebih rendah.

“Saya dengar perkara positif tentang rundingan dengan Eropah dan India,” kata beliau.

Sementara itu, Thailand dilaporkan menawarkan akses pasaran lebih besar untuk produk pertanian dan perindustrian Amerika Syarikat (AS), serta pembelian tambahan tenaga dan pesawat Boeing dalam usaha mengelak tarif setinggi 36%, menurut Menteri Kewangan Pichai Chunhavajira.

India dan AS dijangka membuat keputusan akhir tentang perjanjian perdagangan mini dalam 24 hingga 48 jam, dengan kadar tarif purata ke atas barangan India ke AS dijangka sekitar 10%.

Hassett turut menyebut perjanjian kerangka yang telah dicapai dengan Britain dan Vietnam menjadi panduan penting untuk negara lain.

Beliau dan Miran menyifatkan perjanjian dengan Vietnam sebagai “luar biasa” dan “satu pihak”, kerana AS boleh mengenakan tarif tinggi ke atas eksport Vietnam, manakala Vietnam membuka pasaran tanpa tarif kepada barangan AS. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast