Tunku Mahkota Ismail (tengah), Onn Hafiz (kiri) dan Asman selepas Majlis Istiadat Penyerahan Surat Tauliah, Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Timbalan Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman hari ini mengangkat sumpah jawatan dan sumpah taat setia sebagai SUK yang baharu.

Upacara berkenaan disempurnakan dalam satu majlis istiadat di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di sini hari ini.

Istiadat penyerahan surat tauliah itu disempurnakan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berangkat ke Majlis Istiadat Penyerahan Surat Tauliah, Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Johor kepada Datuk Asman Shah Abd Rahman di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada hari ini, 7 Julai 2025, menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Asman Shah menggantikan Tan Sri Azmi Rohani yang dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Asman Shah sebelum ini merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) yang dilantik pada 1 Oktober tahun lalu.

Beliau juga adalah bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun, Asman Shah berpengalaman hampir dua dekad dalam sektor perkhidmatan awam termasuk menerajui pelbagai inisiatif pembangunan ketika memimpin Pasir Gudang sebagai Datuk Bandar pertama sejak bandar itu diangkat menjadi bandar raya pada November 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast