Mayat enam beranak yang ditemui dalam kereta di Sungai Korok.

ALOR SETAR – Enam beranak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan dalam kereta Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, pagi ini.

Penguasa Kanan Bomba I, Ketua Zon 1, JBPM Negeri Kedah Ahmad Aminudin Abd Rahim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yang turun ke lokasi ketika membuat pemantauan di sepanjang sungai itu telah ternampak bumbung kereta di permukaan sungai.

“Apabila kereta berkenaan ditarik keluar dari sungai itu, didapati terdapat enam mangsa iaitu dua dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi berada di dalamnya,” katanya.

Enam mangsa terbabit adalah pasangan suami isteri dan empat anak mereka yang berusia enam bulan hingga 9 tahun.

Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun itu disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga yang lain di Taman Aman di Jitra.

Menurut adik kepada Mohd Azim Ezzat, Nur Adliah Shuhada, 20-an, abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada Jumaat.

“Saya sangka mereka dah pulang ke Jerlun sebab abang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan biasanya akan keluar awal pagi dan kakak ipar pula berniaga. Bila ibu mentua abang hubungi saya dan beritahu mereka tak sampai ke rumah, saya mula bimbang dan cuba hubungi mereka tapi gagal.

“Kemudian saya dapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Saga di dalam Sungai Korok (di Jitra), tetapi nombor pendaftaran tak sama dengan kereta abang,” katanya di sini.

Nur Adliah Shuhada berkata sehubungan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jitra berhubung kehilangan keluarga abangnya itu. – MalaysiaGazette

Enam beranak dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi keluarga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast