Gambar hiasan sumber Arkib MG.

KUALA LUMPUR – Harga kertas mengalami kenaikan yang lebih ketara susulan peluasan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Presiden Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia, Tan Chong Ong berkata, pihaknya masih mengumpul data mengenai kenaikan harga yang berlaku.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui kenaikan harga bagi kertas dan bahan berkaitan adalah lebih menonjol berbanding alat tulis lain.

Beliau berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas laporan bahawa dua pengedar kertas dan alat tulis mahu menaikkan harga sebanyak 10 peratus.

Chong Ong menambah, pihaknya perlu mengadakan perbincangan sesama pengusaha dan mengumpulkan data sebelum berdialog dengan kerajaan mengenai isu kenaikan harga kertas dan alat tulis.

“Kami perlu mengenal pasti produk yang terjejas oleh SST dan mencari jalan penyelesaian menang-menang dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun niat kerajaan memperluaskan kutipan SST adalah boleh difahami, dasar itu jika dilaksanakan semasa keadaan pasaran sendu, ia boleh menjurus kepada masalah gulung tikar perniagaan.

Sebelum ini, Oriental Daily melaporkan, kutipan SST merangkumi bahan mentah kertas, produk daripada kertas, bahan cetakan, setem, poskad, kertas surat khabar, buku nota, diari, fail, dan buku resit.

Turut termasuk adalah buku, risalah, helaian muzik, peta, buku cek, dan kad ucapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast