TOKYO – Puluhan penduduk telah meninggalkan beberapa pulau terpencil di selatan Jepun selepas kawasan itu digegarkan oleh hampir 1,600 gempa bumi sejak 21 Jun lalu, menurut Datuk Bandar tempatan, Genichiro Kubo.
Walaupun tiada kerosakan besar dilaporkan di Pulau Akuseki, lokasi paling terjejas – termasuk selepas gempa bermagnitud 5.1 yang melanda pada waktu malam, gegaran hampir berterusan telah menyebabkan tekanan emosi dan gangguan tidur yang teruk kepada penduduk.
Daripada 89 penduduk di Akuseki, 44 telah dipindahkan ke Kagoshima, pusat wilayah utama pada hari Ahad.
Seramai 15 lagi turut berpindah dari sebuah pulau berhampiran, menurut Kubo dalam sidang media.
Wilayah ini terdiri daripada tujuh pulau berpenghuni dan lima tidak berpenghuni, terletak kira-kira 11 jam perjalanan feri dari Kagoshima.
Setakat pagi Isnin, kawasan ini telah mengalami 1,582 gegaran yang dikategorikan oleh ahli seismologi sebagai “swarms” – siri gempa kecil berturut-turut tanpa gempa besar tunggal.
Pakar percaya gunung berapi bawah laut dan aliran magma mungkin menjadi punca namun, mereka tidak dapat meramalkan berapa lama gegaran ini akan berterusan.
“Kami tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku. Kami tidak tahu bila ia akan berakhir,” kata Datuk Bandar Kubo.
Fenomena serupa berlaku di kawasan yang sama pada September 2023, apabila 346 gempa bumi direkodkan, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Jepun, yang terletak di atas empat plat tektonik utama dalam kawasan aktif seismik “Lingkaran Api Pasifik”, merupakan antara negara paling kerap mengalami gempa bumi di dunia – dengan kira-kira 1,500 gegaran direkodkan setiap tahun, menyumbang hampir 18% daripada gempa bumi dunia.
Terdapat juga kebimbangan dalam kalangan pelancong asing, dipengaruhi oleh khabar angin di media sosial mengenai kemungkinan gempa besar yang kononnya diramal berlaku pada 5 Julai 2025, tarikh yang disebut dalam komik manga yang diterbit semula pada 2021.
Namun, ramalan itu terbukti tidak berlaku. – Agensi
















