Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak ke tepi jalan sejurus insiden. - Foto tular.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terbakar di Kilometer 46, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, nahas pada pukul 5.15 pagi itu mengakibatkan mangsa,  Hafuzul Fiqrie Mohd Shaifulsham, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati motosikal tersebut telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan yang juga berusia 23 tahun.

“Impak perlanggaran menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak ke tepi jalan sejurus insiden,” katanya dalam kenyataan.

Jasad mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

Menurut Yusof, pemandu kereta berusia 23 tahun tidak mengalami kecederaan namun telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast