Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang pemandu kenderaan yang melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang pejalan kaki maut di Jalan Tuaran-Kota Kinabalu berhampiran Kampung Bakut, Tuaran Sabah pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa lelaki berusia 39 tahun sedang melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beberapa individu telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Selain itu, usaha untuk mengesan pemandu yang melarikan diri dari lokasi kejadian sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Noraidin turut menasihatkan orang awam, khususnya pejalan kaki sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast