Logo Majlis Agama Islam Selangor

KUALA LUMPUR – Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 atau RUU 2025 dalam Mesyuarat kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri, hari ini

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata, tujuan utama pindaan tersebut adalah untuk mencegah pelantikan individu berpandangan ekstrem, liberal atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“RUU 2025 ini juga bertujuan untuk memastikan pentadbiran Islam Negeri Selangor selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menepati Maqasid Syariah, “Hifz al-Din” iaitu memelihara, menjaga, dan mempertahankan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, RUU 2025 mengandungi 10 fasal yang mengandungi pindaan tafsiran perkataan “hukum syarak” dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, RUU 2025 ini mengandungi peruntukan yang jelas berhubung kriteria pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selain anggota ex-officio, Mufti, Timbalan Mufti, anggota Jawatankuasa Fatwa, anggota Jawatankuasa Tauliah dan anggota Jawatankuasa Rayuan Tauliah yang hendaklah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam RUU 2025, tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah merujuk kepada orang Islam yang berpegang dengan ajaran Islam dalam hal berkaitan akidah dan tauhid; syariah dan fiqah; dan akhlak dan tasawuf.

Tafsiran itu juga adalah selaras dengan Fatwa berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah diperkenan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 22 Mei 2025 dan diwartakan pada 17 Jun 2025.

Menurut beliau, MAIS sangat komited untuk memastikan pentadbiran agama Islam di Selangor terus berpacukan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta bebas daripada pengaruh ajaran sesat yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan memecahbelahkan masyarakat Islam.

Bagi tujuan itu, MAIS bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan agensi lain yang berkaitan akan memperhebat aktiviti pencerahan dan penerapan kefahaman berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada seluruh masyarakat di Selangor.

Ini termasuk melalui program pengajaran agama Islam melalui pemegang tauliah mengajar agama dan juga aktiviti pengimarahan di masjid dan surau.

Tindakan bagi memperkukuh kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah ini adalah selaras dengan titah Sultan Selangor selaku Ketua Agama Negeri yang menekankan kepentingan menjaga kemurnian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan umat Islam di Selangor serta keperluan untuk memperjelaskan kedudukannya dalam perundangan.

“MAIS juga menzahirkan penghargaan kepada Dr. Mohammad Fahmi Ngah (EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi), Datuk Salim Soib@ Hamid (Penasihat Undang-Undang Negeri), Datuk Dr. Haji Anhar Opir (Mufti Selangor), semua anggota MAIS, anggota Jawatankuasa Undang-undang MAIS, anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan semua pegawai di agensi yang terlibat dalam penyediaan RUU 2025 ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, MAIS juga menggesa masyarakat Islam di Selangor untuk terus berpegang teguh kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tambahnya, kefahaman dan penghayatan yang mantap terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini diharap akan menjadi asas utama kepada pengukuhan perpaduan dalam kalangan umat Islam. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast