JOHOR BAHRU – Tiga murid cedera dan 19 lagi selamat selepas van sekolah dinaiki kemalangan dengan sebuah treler di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Muhamad Azizi Zakaria berkata, seramai 10 anggota termasuk dari BBP Kempas dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.10 tengah hari.

Lebuhraya Utara Selatan Johor Bahru hari ini.
“Setibanya pasukan di lokasi didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan van sekolah dan treler membawa muatan simen.
“Terdapat 22 mangsa terdiri daripada murid sekolah dalam van tersebut. Pemandu van tersepit di tempat duduk manakala tiga murid mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebuhraya Utara Selatan Johor Bahru hari ini.
Jelas Muhamad Aziz, mangsa tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak hospital.
“Seorang kanak-kanak lelaki yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans manakala dua kanak-kanak perempuan yang turut cedera dihantar menggunakan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 10 saat memaparkan orang ramai membantu kanak-kanak yang terperangkap dalam nahas tersebut. – MalaysiaGazette















