PEKAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bera mendakwa kenyataan pihaknya berkaitan isu pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diputarbelit Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bera.
Tegas Ketua Bersatu Bera, Datuk Seri Asmawi Harun, parti itu menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan SST berasaskan realiti tekanan kos sara hidup rakyat.
Desakan parti itu, katanya, bukan retorik kosong mahu pun idea populis yang cetek seperti dakwaan PKR Bera.
“Kami ingin tegaskan cadangan Bersatu adalah satu gesaan berasaskan realiti tekanan kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40 dan M40 yang semakin tenat akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak.
“Kedua, kenyataan PKR yang SST menyumbang lebih RM30 bilion setahun tidak menafikan hakikat bahawa sistem percukaian ini bersifat regresif iaitu membebankan golongan berpendapatan rendah lebih daripada golongan berpendapatan tinggi.
“Kutipan tinggi belum tentu bermakna keadilan cukai telah dicapai.
“Ketiga, Bersatu konsisten dalam menyeru reformasi fiskal yang lebih menyeluruh termasuk penyusunan semula sistem percukaian negara yang lebih progresif,” katanya dalam kenyataan.
Asmawi turut menegaskan keberanian menyuarakan kepentingan rakyat tidak harus disambut dengan sindiran politik murahan daripada PKR seperti ‘amnesia fiskal’.
Tanggungjawab pembangkang, katanya, adalah menyemak dan mengimbangi dasar kerajaan bukan mengangguk kepada setiap langkah yang menambah beban rakyat.
“Justeru, kami menyeru semua pihak agar tidak terus mempertahankan dasar yang menekan rakyat hanya kerana ia diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
“Kerajaan harus bersikap terbuka menerima kritikan dan saranan membina, bukan menghambat suara yang membawa aspirasi rakyat,” tambahnya lagi.
PKR Bera sebelum ini mengkritik desakan menghapuskan SST yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang disifatkan hipokrit dan tidak masuk akal.
“Cadangan ini, walaupun tampak mesra rakyat pada permukaan, sebenarnya tidak lebih daripada retorik populis yang cetek dan tidak berpijak di bumi nyata.
“Ironinya, semasa Bersatu berada dalam kerajaan, mereka bukan sahaja mengekalkan SST malah bergantung penuh kepada hasilnya.
“Kini apabila berada di bangku pembangkang, Bersatu seolah-olah baru sedar akan kewujudan cukai ini satu bentuk ‘amnesia fiskal’ yang amat menggelikan,” kata PKR Bera dalam kenyataannya 6 Julai lepas. – MalaysiaGazette
















