JOHOR BAHRU – Seorang daripada empat murid yang cedera dalam selepas van sekolah dinaikinya melanggar belakang sebuah treler semalam masih trauma dengan kejadian itu.
Ibu mangsa, M Kartthiyani, 47, berkata, S Tanalechumy, 11, yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau di sini masih terbayang-bayang insiden itu.
“Kemalangan berlaku ketika anak saya dalam perjalanan pulang ke rumah menyebabkannya mengalami kecederaan di kaki, tangan dan rahang.
“Sejak malam tadi, anak saya mengigau dan menjerit mengulang-ulang perkara sama akibat trauma dengan kemalangan kaki, tangan dan rahang masih sakit.
“Saya tak salahkan pemandu van sekolah tapi nyawa anak-anak tak boleh diganti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Munsyi Ibrahim di sini hari ini.
Sebelum itu, Tanalechumy menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.
Dalam kejadian di simen di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara Selatan di Iskandar Puteri pukul 1 tengah hari semalam, van membawa 21 murid sekolah melanggar belakang sebuah treler membawa muatan simen yang rosak di tepi jalan.
Akibat kemalangan tersebut, pemandu van sekolah tersepit di tempat duduk pemandu, empat murid cedera manakala 19 lagi terselamat.
Bercerita lanjut, Kartthiyani berkata, anaknya yang duduk di bahagian belakang pemandu dan sebelah pintu tergamam apabila melihat rakannya cedera dan menangis ketakutan selain nampak darah di lokasi kejadian.
“Ketika kejadian, saya sedang bekerja di kilang sebelum mendapat panggilan daripada pihak sekolah memaklumkan perkara tersebut. Mujur tidak melibatkan kehilangan nyawa.
“Saya menangis sepanjang perjalanan menuju ke hospital untuk melihat anak. Hati saya sangat cemas kerana tiada kelibat anak saya kelihatan dalam video yang tular,” katanya.
Katanya, anak bongsu daripada tujuh beradik itu tidak bersekolah hari ini setelah perasaan takut dan trauma itu masih ada.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tiga murid cedera, 19 terselamat kemalangan van sekolah dengan treler















