JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis RM100 pada tahun lalu.
Tertuduh, P Sattiasegar, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM100 kepada seorang koperal polis yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Perbuatan itu adalah sebagai dorongan kepada anggota polis berkenaan untuk melepaskan kelindan tertuduh yang disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Bagi perbuatan yang dilakukan di hadapan padang bola, Jalan Pogoh, Kampung Pogoh di Segamat pukul 12.45 tengah hari, 28 Ogos 2024, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin dan tidak menawarkan sebarang jaminan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan jamin kerana tertuduh mempunyai anak yang masih bersekolah.
“Tertuduh mempunyai seorang isteri dan seorang anak belajar tingkatan empat. Dia bersedia dengan wang jaminan sebanyak RM2,000,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette
















