KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menuntut kerajaan menjelaskan kedudukan terkini kadar tarif yang akan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.
Tuntutan itu dibuat oleh Ketua Penerangan PN Dr Mohd Radzi Md Jidin susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tentang kadar baharu tarif yang akan dikenakan terhadap Malaysia sebanyak 25 peratus pada 1 Ogos ini.
Menurutnya, kadar ini bukan sahaja peningkatan sebanyak satu peratus berbanding kadar asal yang diumumkan pada 2 April 2025.
Sekiranya dibandingkan kadar tarif yang telah diumumkan untuk negara-negara ASEAN yang lain, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang dikenakan kadar tarif lebih tinggi daripada kadar asal.
“Vietnam dengan 26 peratus, Kemboja (13 peratus), Laos (8 peratus) dan Myanmar (4 peratus).
“Perkara ini menimbulkan banyak tanda tanya apabila sebelum ini pemimpin Kerajaan memberi gambaran seolah-olah rundingan berjalan dengan amat baik dan positif.
“Namun realitinya, hasil rundingan yang telah diumumkan langsung tidak mencerminkan gambaran yang diberi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Radzi yang juga Ketua Portfolio Kewangan PN berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan segera dan terperinci daripada perdana menteri serta Menteri Pelaburan, Perdangangan dan Industri (MITI) berhubung isu kritikal ini.
“Saya mohon kerajaan memberi penjelasan apakah kadar tarif sebanyak 25 peratus ini ditetapkan selepas Kerajaan Malaysia bersetuju untuk melonggarkan dasar-dasar negara sebagai konsesi rundingan dengan Amerika Syarikat? Jika ya, apakah dasar-dasar negara yang telah dilonggarkan tersebut?
“Adakah kerajaan akan meneruskan rundingan sehingga tarikh 1 Ogos 2025 sebelum kadar tarif baharu ini mula dilaksanakan? Jika ya, adakah kerajaan akan melonggarkan lagi dasar-dasar negara yang sedia ada dalam rundingan susulan? Apakah dasar-dasar yang bakal dijadikan konsesi rundingan tersebut?
“Apakah bentuk bantuan strategik dan insentif yang akan disediakan oleh kerajaan untuk menyokong sektor-sektor ekonomi yang terkesan terutamanya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta peniaga yang menjalankan aktiviti eksport secara langsung ke pasaran AS?,” katanya sambil minta kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berselindung lagi.
Mohd Radzi berkata, penjelasan yang telus dan menyeluruh amat penting mengambil kira implikasi tarif timbal balik ini kepada ekonomi negara, kehidupan rakyat serta masa depan perdagangan antarabangsa Malaysia.
“Lebih malang jika kerajaan mengorbankan prinsip dan dasar negara sebagai konsesi rundingan namun akhirnya kita tetap menerima kadar tarif yang lebih tinggi.
“Keadaan ini adalah ibarat pepatah, ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’,” ujarnya.
“Kami mahu membahaskan isu ini dan isu-isu rakyat yang lain di Parlimen dengan segera, namun sidang Parlimen yang asalnya dijadualkan pada 23 Jun 2025 telah ditangguhkan ke 21 Julai 2025,” katanya. – MalaysiaGazette















