Datuk Ngwe Hee Sem

MELAKA – Sektor pembinaan kekal sebagai penyumbang tertinggi bagi kes kematian pekerja di Melaka, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Menurutya, sebanyak enam kematian melibatkan empat kes kemalangan di tempat kerja direkodkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka setakat Jun tahun ini.

“Statistik menunjukkan sektor pembinaan terus menjadi penyumbang utama kepada kes kemalangan serius, terutamanya insiden jatuh dari tempat tinggi diikuti sektor pembuatan setakat Jun ini.

“Tempoh sama juga menyaksikan 286 kes kemalangan tanpa kehilangan upaya kekal manakala 10 adalah kecederaan mengakibatkan kecacatan kekal yang banyak berlaku di sektor pembuatan,” katanya.

Hee Sem (Kanan) merasmikan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2025 Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2025 Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, sebanyak tujuh kes kemalangan direkodkan melibatkan sembilan kematian sepanjang tahun lalu.

“JKKP Melaka mengambil langkah proaktif menerusi pemantauan berkala di tempat kerja bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan majikan dan pekerja.

“Ia termasuklah usaha kita untuk memperkukuh tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan pemain industri pelancongan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast