KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan salah sebuah rumah miliknya dipercayai diceroboh dan dijadikan lokasi kegiatan pelacuran serta penagihan dadah semalam.
Pendedahan itu dibuat menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya memaparkan beliau menyerbu rumah berkenaan yang dipercayai terletak di Sungai Buloh dekat sini sebelum menangkap seorang wanita warga asing yang disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran.
“Kenapa kamu datang rumah saya bawa lima lelaki? Pakai seksi macam ni. Dia jual diri ni. Jangan sampai aku lepuk muka kau,” katanya dalam nada marah di dalam video berkenaan terhadap wanita berkenaan.
Menurut Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, beliau tidak menyangka rumah yang dimiliki itu disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjadi sarang maksiat.
“Papa sungguh tak sangka rumah papa kena ceroboh oleh orang tak bertanggungjawab. Papa tak sihat dan badan papa seram sejuk nak demam.
“Rumah papa dibuatnya sarang pelacuran dan sarang dadah. Masya-Allah, apa yang perlu papa buat? Papa buntu dan kecewa sangat. Patut ke papa lepaskan atau hubungi polis?” soalnya menerusi kapsyen di Instagram.
Dalam ruangan komen, kebanyakan netizen menasihati Aliff agar membuat laporan polis segera bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu terlibat. – MalaysiaGazette















