Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar selepas Majlis Menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) oleh Republik Demokratik Rakyat Algeria yang diwakili oleh Menteri Luar Algeria, Ahmed Attaf dan Republik Oriental Uruguay yang diwakili oleh Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin serta Ketua Setiausaha ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir lima dekad menjadi tiang kepada kestabilan rantau Asia Tenggara, ASEAN hari ini mencatatkan sejarah baharu apabila dua negara dari benua berlainan iaitu Algeria dari Afrika Utara dan Uruguay dari Amerika Latin secara rasmi menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Langkah bersejarah itu bukan sahaja memperluas jangkauan ASEAN ke dua benua utama dunia malah menandakan era baharu hubungan rentas benua yang lebih erat berdasarkan prinsip keamanan, hormat-menghormati dan kerjasama antarabangsa.

Dengan penyertaan Algeria dan Uruguay, jumlah keseluruhan negara yang menjadi pihak dalam TAC kini meningkat kepada 57 buah iaitu perkembangan signifikan sejak perjanjian itu diperkenalkan pada tahun 1976.

Penyertaan rasmi kedua-dua negara dimuktamadkan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini dengan Algeria diwakili Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan di Luar Negara, Ahmed Attaf manakala Uruguay diwakili Menteri Luarnya, Mario Lubetkin.

Malaysia Pimpin Detik Bersejarah

Sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memainkan peranan utama dalam mengukuhkan jalinan berkenaan dan ia dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa penyertaan Algeria dan Uruguay membuktikan keupayaan ASEAN sebagai sebuah organisasi yang semakin diiktiraf dunia.

“Ini adalah detik bersejarah yang menyatukan ASEAN dengan dua rantau penting dunia. Ia mencerminkan semangat sejagat untuk menjunjung prinsip keamanan, saling menghormati dan kerjasama yang saksama,” katanya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) menyaksikan Majlis menandatangani Instrumen Perakuan Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) oleh Republik Demokratik Rakyat Algeria yang diwakili oleh Menteri Luar Algeria, Ahmed Attaf (kanan) dan Republik Oriental Uruguay yang diwakili oleh Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin (kiri) ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2025.

Tambah beliau, langkah yang sama bakal membuka jalan kepada kerjasama yang lebih mendalam termasuk dalam bidang pembangunan mampan, perdagangan dan pertukaran budaya antara ASEAN dengan Afrika Utara dan Amerika Latin.

Sejak dimeterai pada 1976, TAC menjadi asas kepada hubungan damai di Asia Tenggara dengan prinsip utama seperti tidak campur tangan, penyelesaian secara aman dan penolakan terhadap kekerasan namun perjanjian itu dipinda pada 1987 bagi membolehkan negara bukan ASEAN menyertainya.

Penyertaan dua negara itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap nilai-nilai tersebut yang kini melangkaui sempadan benua.

“Prinsip-prinsip ini kekal relevan dalam dunia hari ini yang penuh cabaran geopolitik. Kehadiran Algeria dan Uruguay mengukuhkan lagi komitmen ASEAN terhadap kestabilan global dan kerjasama membina,” ujar Mohamad.

Sokongan ASEAN dan Harapan Baharu

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn yang bersama-sama meraikan perluasan keluarga besar ASEAN.

Kata Mohamad, Malaysia amat mengalu-alukan komitmen Algeria dan Uruguay dan bersedia menjalin kerjasama lebih erat di bawah kerangka TAC.

“Ini bukan sekadar penambahan angka tetapi satu langkah besar ke arah pemahaman merentas benua yang lebih luas dan jalinan strategik yang membawa manfaat bersama, tahniah kepada kedua-dua atas komitmen cukup signifikan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, ia juga membuktikan bahawa ASEAN bukan hanya milik Asia Tenggara tetapi kini menjadi suara global yang mampu merentasi sempadan budaya, bahasa dan geografi demi masa depan bersama yang aman dan sejahtera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast