KUANTAN – Bukan pertama kali Muhammad Isyraf Danish Razmi, melakukan aktiviti memancing di sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam di sini.
Cuma bapanya, Razmi Yaacob, 56, berkata, mereka kelazimannya akan pergi bersama-sama.
“Saya tak tahu dia (Muhammad Isyraf) pergi memancing sebab kebiasaannya dia pergi bermain bola pada waktu petang. Memang dia selalu memancing tapi saya yang selalu bawa dia. Tapi semalam dia tak maklumkan saya.
“Bukan di sini sahaja tapi kami selalu pergi memancing di kawasan lain juga. Banyak kali sudah dia datang sini cuma mungkin kali pertama dengan kawan-kawan dia tu. Saya pun tak tahu,” katanya ketika di temui di sini hari ini.
Mengimbau detik-detik mendapat kejadian menimpa anak bongsunya yang dikhuatiri lemas itu, katanya, dia bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan polis pada pukul 7.20 malam tadi.
Ketika itu, katanya, polis sudah berada di lokasi berkenaan bersama tiga rakan anaknya yang terlibat dalam kejadian itu.
“Kali terakhir saya jumpa dia (Muhammad Isyraf Danish) adalah pada hari Ahad lepas ketika saya bawa dia jalan-jalan seperti rutin mingguan kami. Saya sudah berpisah dengan isteri, jadi dia memang duduk dengan ibunya,” katanya lagi.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, anaknya itu pandai berenang namun tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku ketika kejadian tersebut.
Namun dia tetap berharap agar Muhammad Isyraf Danish ditemukan dengan segera walau dalam apa cara dan keadaan sekalipun.
Terdahulu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan menerima laporan kejadian berkenaan pada pukul 8.36 malam dan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah bermula malam tadi.
Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15 dikatakan bersama tiga lagi rakannya ketika kejadian sebelum dia terjatuh ke sungai itu sewaktu memancing sekitar pukul 6.30 petang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















