JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Fasa Kedua Johor Urban Observatory (JUO) adalah satu inisiatif penting dalam memperkasakan usaha pembangunan bandar pintar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menjelaskan, ia termasuk penganjuran Johor Smart City Forum 2026.
Inisiatif-inisiatif itu akan menjadi pelengkap penting kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan aspirasi Maju Johor.
“Kedua-dua inisiatif ini merupakan antara agenda utama yang dibentangkan dalam sesi libat urus bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) Johor bagi perancangan dan permohonan bajet pembangunan tahun 2026.
“Pembangunan JUO Fasa 2 akan melibatkan pemasangan pelbagai sensor di sungai serta pembangunan sistem paparan pintar yang mengintegrasikan maklumat antara pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi negeri dan Persekutuan.
“Sistem ini akan menjadi antara sumber data utama kepada kerajaan Johor dalam membuat keputusan berasaskan sains dan teknologi, terutamanya yang melibatkan pemantauan trafik, banjir, pencemaran serta kesejahteraan rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Jafni berkata, JUO yang dimulakan sejak Januari lalu merupakan platform pemantauan bandar secara langsung (real-time) menggunakan teknologi seperti sensor Internet Benda (IoT), sistem maklumat geografi (GIS) dan analisis data raya (big data).
Semua teknolgi itu menyokong perancangan bandar yang mampan dan peka.
Tambahnya, Johor merancang menjadi peneraju bandar pintar di peringkat nasional dan serantau menerusi penganjuran Johor Smart City Forum 2026.
Menurutnya, forum berkenaan akan memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pelajar, usahawan teknologi, pelabur strategik serta masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau menyatakan penghargaan terhadap komitmen tinggi pasukan PlanMalaysia Johor dalam memperkasakan ekosistem pembangunan negeri yang berpaksikan teknologi, data dan keterangkuman sosial.
“Kerajaan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus menyokong segala perancangan strategik yang memacu Johor ke arah sebuah negeri pintar, lestari dan berdaya tahan,” katanya.- MalaysiaGazette
















