Rumah Pam Kobat, Kuantan

KUANTAN – Penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah ini akan berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka selama 12 jam bermula pukul 11 malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, ia berikutan pelaksanaan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan segera di Rumah Pam Kobat.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan tersebut melibatkan pemeriksaan dan baik pulih kesemua instrumen penting di rumah pam berkenaan dan perlu dilaksanakan segera sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kerosakan yang lebih besar terhadap pengoperasian loji pada masa akan datang.

Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk seluruh kawasan Beserah sehingga sempadan Chendor meliputi MCKIP, Maritim, Bandar Damansara, Taman Dato’ Rashid, Batu Hitam, Kampung Darat Sekolah, Jeram, Sungai Karang Maju, Aspa Cottage, Jabor, Sungai Karang, Chengal Lempong, Balok, Seberang Balok, Sungai Ular, Pelabuhan, Cherating dan Kubang Ikan.

Selain itu, kawasan industri Gebeng Fasa I, II, dan III, kawasan Pelabuhan, Jalan Jabor, Kampung Alor Batu Jabor, Jalan Semambu, Politeknik Semambu, kawasan perumahan dan industri Semambu, serta Jalan Tengku Muhammad turut terkesan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut mengalami gangguan ialah kawasan Teluk Sisek, Pejabat Ukur, Jalan Beserah, Alor Akar, Sri Kuantan, Kubang Buaya, Teluk Chempedak, Istana Mahkota Teluk Sisek, Tanjung Api, Taman Gelora, Padang Lalang, Taman Selamat, Tembeling Resort dan Kelab Golf Diraja.

Kawasan lain yang turut terlibat ialah Bukit Sekilau, Jalan Bukit Ubi, Jalan Kenanga, Taman Bukit Ubi, Taman Sungai Charu, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Haji Ahmad, Galing, Setali, Air Putih, Taman Fairmount, Bukit Beirut, Jalan Bukit Setongkol, Bukit Setongkol dan Cenderawasih.

Kawasan RTP Bukit Goh, Bukit Goh Gen 2, Bukit Goh Perdana, Bukit Kuantan, sebahagian Tanjung Pasir, Indera Mahkota, Kampung Tiram, Tiram Perdana, Taman Shahzan, Taman Radiance, KOMTUR, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, SBPI, Ibu Pejabat PAIP, Terminal Sentral, Bomba Indera Mahkota dan Widad turut tersenarai antara kawasan terlibat.

Tambah Saiful Zaini, bekalan air dijangka akan disalurkan kepada pengguna secara berperingkat setelah kerja-kerja selesai dan sistem agihan air distabilkan.

Bagaimanapun, tempoh pemulihan bekalan mungkin berbeza mengikut jarak lokasi dan tekanan dalam sistem agihan air.

“Sehubungan itu, PAIP akan menyediakan bantuan alternatif melalui penghantaran lori tangki air dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan premis lain yang memerlukan bekalan air secara berterusan.

“PAIP berharap pemakluman awal ini dapat memberikan ruang kepada pengguna untuk membuat persediaan dengan menyimpan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

“PAIP juga memberi jaminan bahawa segala usaha sedang digiatkan agar kerja-kerja penyelenggaraan ini berjalan lancar dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) menerusi talian 09-573 9999 yang beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast