KUALA LUMPUR – Harga runcit diesel di semenanjung naik tiga sen kepada RM2.88 seliter bagi tempoh 10 Julai 2025 hingga 16 Julai 2025.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga tersebut bagaimanapun masih rendah berbanding sebelum ia diapungkan pada 10 Jun tahun lepas.
“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, harga runcit diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan masih kekal pada paras RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan mengumumkan harga petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal pada paras RM3.18 seliter dan RM2.05 seliter.















