Pasukan bedah yang melaksanakan prosedur “ICG-Guided Total Laparoscopic Hysterectomy and Bilateral Salpingo Oophorectomy with Excision of Pelvic Endometriotic Tissue”.

KUALA LUMPUR – Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya melaksanakan satu prosedur pembedahan laparoskopi kompleks ke atas seorang wanita yang menghidap endometriosis kronik, baru-baru ini

Penyakit endometriosis adalah salah satu penyakit yang sering dialami oleh wanita dalam usia reproduktif, dengan kejadian sekitar satu daripada 10 wanita.

HCTM dalam kenyataannya berkata, pesakit berkenaan disahkan menghidap endometriosis sejak 2012 dan mengalami gejala senggugut yang teruk serta haid berlebihan, dan ini secara signifikan menjejaskan kualiti hidupnya.

Sebelum ini, beliau pernah menjalani beberapa pembedahan berkaitan ketumbuhan ovari di hospital lain, namun masalah kesihatan berulang dan simptom tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Pesakit turut mengalami komplikasi serius dikenali sebagai ‘frozen pelvis’, di mana tisu endometriosis menyebabkan organ-organ dalam pelvis melekat antara satu sama lain dan membentuk satu struktur konglomerat yang kompleks.

Setelah perbincangan mendalam antara pakar-pakar terlibat, satu keputusan dibuat untuk menjalankan rawatan melalui pendekatan pembedahan laparoskopi.

Prosedur yang kompleks ini dipertingkatkan dengan penggunaan “Indocyanine Green” (ICG) untuk mengesan laluan tiub kencing, bagi meminimumkan risiko komplikasi semasa pembedahan.

Ia berlangsung selama 3 jam 45 minit dan berjaya disempurnakan tanpa sebarang komplikasi.

Pesakit berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan dan dibenarkan pulang pada hari kedua selepas prosedur.

Kejayaan pembedahan itu njadi bukti keberkesanan pendekatan rawatan multidisiplin dalam menguruskan kes endometriosis yang kompleks.

Ia dilaksanakan menerusi kerjasama antara pasukan pembedahan yang diketuai oleh Profesor Dr. Nirmala Chandralega Kampan, Pensyarah dan Pakar Perunding Ginekologi Onkologi serta ketua unit Pembedahan Minimal Invasif dari Fakulti Perubatan dan HCTM, UKM, bersama Dr. Sharifah Halimah Jaafar, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Bedah Robotik dan Endometriosis dari Hospital Picaso, Petaling Jaya, yang juga merupakan Presiden Persatuan “Advanced Minimally Invasive Surgery, Robotic & Ablation Society of Gynaecologists Malaysia” (AMRAS).

Pasukan itu turut disertai oleh Profesor Dr. Ani Amelia, Pensyarah dan Pakar Perunding Ginekologi Onkologi dari Fakulti Perubatan dan HCTM, UKM, serta Dr. Nurul Wahidah Wagimon, Pakar Obstetrik dan Ginekologi HCTM, UKM.

Kolaborasi ini terhasil daripada inisiatif Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HCTM, UKM, Profesor Madya Dr. Ixora Kamisan Atan, melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman antara HCTM, UKM dan AMRAS yang telah dimeterai pada tahun ini.

Prosedur berkenaan turut mengukuhkan lagi jalinan strategik antara pakar tempatan dan pakar luar, serta mencerminkan komitmen UKM melalui Fakulti Perubatan dan HCTM dalam menyediakan rawatan berteknologi tinggi kepada pesakit di Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast