KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan tegas secara serta merta kepada anggota
yang memandu kenderaan jabatan itu secara tidak wajar di Simpang Pulai Perak pada hari ini, seperti mana tular di laman media sosial.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ telah mengeluarkan notis saman kepada anggota yang memandu atas
kesalahan memotong di garisan berkembar, melarang memandu kenderaan jabatan dan menggantung tugas serta menempatkan anggota terlibat ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.
“Pihak JPJ juga telah mengambil langkah susulan dengan
melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 12 saat memaparkan sebuah kenderaan JPJ cuba memotong sebuah lori di garisan berkembar sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Menurut Aedy Fadly, JPJ yang menerima laporan aduan awam berkaitan satu video tular di sosial media yang mana kenderaan jabatan itu telah dipandu dengan cara tidak wajar memandang serius kejadian tersebut.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan JPJ yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Katanya, orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau real time jika terdapat mana-mana pengguna jalan raya tidak
mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dengan
menggunakan aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel
[email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan. – MalaysiaGazette
















