KUALA LUMPUR – Tindakan regim Israel secara sistematik menjadikan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran dan ada antaranya menjadi tahanan dan diletakkan dalam penjara dikecam sekeras-kerasnya.
Penasihat Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan maruah asas kemanusiaan.
Menurutnya, banyak pertubuhan kemanusiaan dan hak asasi manusia telah merekodkan corak penderaan yang membimbangkan terhadap kanak-kanak Palestin.
Laporan menyebut ada kanak-kanak seawal usia 12 tahun mengalami keganasan fizikal semasa ditangkap dengan mata ditutup, diugut dengan ancaman terhadap ahli keluarga, dikurung secara berseorangan dalam jangka masa panjang, dan dipaksa membuat pengakuan.
Ramai antara mereka ditahan tanpa akses kepada wakil guaman atau komunikasi dengan keluarga mereka dalam tempoh yang lama.
“Tiada kanak-kanak yang sepatutnya mengalami ketakutan diculik dari rumah sendiri pada waktu malam, atau menderita trauma di dalam penjara,” kata Nurul Izzah.
“Menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran dalam konflik merupakan pelanggaran nyata terhadap konvensyen antarabangsa dan mencemarkan nilai kemanusiaan sejagat. Kita mesti bertindak segera untuk menghentikan kezaliman ini,” tambahnya.
MAHAR berdiri teguh bersama komuniti kemanusiaan antarabangsa dalam menuntut penghentian segera terhadap penahanan dan penyeksaan sewenang-wenangnya terhadap kanak-kanak Palestin.
Tegasnya, satu siasatan yang telus serta tindakan akauntabiliti terhadap semua pelaku pelanggaran hak perlu dilakukan segera,
Selain itu pemantauan bebas ke atas pusat tahanan serta perlindungan undang-undang yang mencukupi untuk tahanan kanak-kanak; dan penguatkuasaan protokol perlindungan kanak-kanak antarabangsa di semua wilayah yang diduduki Israel.
MAHAR turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara-negara ASEAN dan masyarakat antarabangsa untuk segera mendesak keadilan, mengambil tindakan diplomatik, dan melindungi masa depan anak-anak Palestin daripada terus dizalimi.
“Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan yang komited terhadap maruah, keadilan dan pembelaan komuniti yang tertindas, MAHAR akan terus memberikan sokongan di lapangan — termasuk bantuan kecemasan, sokongan psikososial, dan advokasi undang-undang kepada keluarga yang terkesan akibat kezaliman ini,” kata Nurul Izzah.
Persatuan Tahanan Palestin (PPS) sebelum ini mendakwa tentera Israel menahan 640 kanak-kanak Palestin dari Tebing Barat, setakat ini.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan, jumlah itu termasuk pencerobohan 7 Oktober lalu.-MalaysiaGazette















