Bank Islam

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan menyemak semula Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada masing-masing 2.75%, 3.52% dan 6.47% setahun.

Bank itu dalam kenyataannya berkata, kadar baharu tersebut akan berkuat kuasa mulai esok, 10 Julai 2025.

Pelarasan itu katanya, dibuat susulan keputusan Bank Negara Malaysia untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, daripada 3.00% kepada 2.75%, seperti yang diumumkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, langkah itu dijangka memberi kelegaan kewangan kepada individu dan perniagaan yang mempunyai pembiayaan yang dikaitkan dengan SBR, BR atau BFR.

“Langkah ini dijangka menyokong aktiviti ekonomi dan Bank Islam kekal komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi sambil terus peka terhadap keperluan pelanggan yang sentiasa berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, penurunan OPR itu juga memberi Bank Islam keupayaan yang lebih besar untuk mengembangkan portfolio pembiayaan, memperkukuh hubungan dengan pelanggan sambil mengekalkan kualiti aset.

Selain itu, ia membolehkan Bank Islam meluaskan jangkauan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan melalui akses perbankan digital yang dipertingkatkan seperti aplikasi mudah alih BIMB Mobile dan Be U oleh Bank Islam.

“Sebagai sebuah bank yang berteraskan matlamat dan bertanggungjawab, kami melihat penurunan OPR ini sebagai satu peluang untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh daya tahan kewangan, terutamanya bagi golongan yang paling terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

“Peranan kami bukan sekadar menawarkan pembiayaan mampu milik; kami berhasrat untuk menyumbang kepada ekosistem ekonomi yang lebih inklusif dan mampan untuk semua,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast