Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Perdagangan dan pelaburan yang dahulunya digunakan untuk menjana pertumbuhan ekonomi kini dijadikan alat pengaruh politik oleh kuasa-kuasa besar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, situasi itu bukan fenomena sementara sebaliknya ia adalah cabaran baharu zaman kini.

Sehubungan itu, beliau menyeru negara-negara ASEAN untuk terus memperkukuhkan kerjasama politik dan bergerak sebagai satu komuniti serantau yang hebat dalam berdepan tekanan geopolitik serta cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

“Alat-alat yang dahulunya digunakan untuk menjana pertumbuhan kini digunakan untuk memberi tekanan, mengasingkan dan menyekat. Tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi senjata dalam persaingan geopolitik.

“Saya menyeru agar dasar luar dan dasar ekonomi ASEAN bergerak seiring. Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi perlu rapatkan barisan dan selaraskan langkah. Inilah kunci kekuatan kita dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Kita perlu berdagang lebih banyak sesama sendiri, melabur lebih banyak dalam satu sama lain, dan memperkukuh integrasi antara sektor. Ini adalah imperatif strategik yang akan menentukan relevansi dan daya tahan ASEAN dalam dekad-dekad akan datang,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Justeru, beliau menggesa ASEAN supaya menghadapi realiti ini dengan kefahaman yang jelas, ketegasan dalam tindakan serta suara yang lebih seragam.

Menurutnya, kesepaduan ASEAN mesti diterjemahkan bukan sahaja dalam deklarasi tetapi dalam dasar, institusi dan keputusan ekonomi bersama.

Anwar menegaskan bahawa usaha ini seiring dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang telah dipersetujui oleh para pemimpin yang menekankan keperluan penyelarasan merentas pilar dan sektor politik, ekonomi dan sosial bagi memastikan ketahanan juga daya saing.

Sementara itu, dalam nada yang menyentuh sisi kemanusiaan, Anwar menggambarkan ASEAN sebagai rumah kepada rakyat biasa yang mengharapkan keamanan dan kemakmuran.

Kata beliau, seorang ibu di Batambang yang memulakan hari di gerainya, petani di Luzon yang setia mengusahakan tanah warisan, dan anak kecil di Chiang Rai yang berjalan ke sekolah membawa impian masa depan.

“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau kita boleh menjadi lebih aman dan makmur sekiranya kita berani melihat ASEAN bukan sebagai negara-negara yang bergerak selari tetapi sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan bersama.

“Inilah sebenar ASEAN bukan terletak pada kenyataan bersama tetapi pada hasil dan tindakan nyata yang menguatkan rantau ini serta memberi manfaat kepada rakyatnya.

”Ia bukan hanya tentang mesyuarat dan komuniti tetapi tentang harapan dan kehidupan rakyat yang perlu kita lindungi dan bangunkan bersama,” ujarnya.

Anwar juga juga menolak sekeras-kerasnya idea bahawa rantau ini boleh ditentukan oleh kuasa luar.

Sebaliknya kata beliau, ASEAN mesti kekal sebagai rantau yang mengemudi arah tuju sendiri secara kolektif, berpandangan jauh dan berdasarkan kepentingan bersama.

“Kita bukan negara-negara yang bergerak selari secara berasingan. Kita ialah satu komuniti yang bergerak bersama dengan tujuan yang jelas. Masa depan ASEAN ada di tangan kita, bukan orang lain,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast