Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyifatkan medan pertempuran sebenar pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah kini tertumpu kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, kedua-dua golongan itu tidak terikat dengan mana-mana parti, tetapi peka terhadap isu, prestasi dan persekitaran semasa.

Sehubungan itu, ujarnya, bagi mendekati kumpulan pengundi berkenaan, parti politik mesti membawa mesej yang jelas, menangani isu kehidupan sebenar, dan menawarkan visi masa depan yang boleh diyakini, bukan sekadar slogan atau pengumuman yang bersifat sementara.

Tambah beliau, masa depan Sabah tidak boleh disandarkan kepada retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang mantap, dan komitmen yang ikhlas untuk berkhidmat, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Pilihan raya yang bakal tiba ini adalah saat untuk semua pihak baik parti mahupun rakyat membuat penilaian yang matang dan memperbaharui tekad untuk membina sebuah Sabah yang lebih stabil, adil dan makmur,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Salleh Keruak berkata, dalam kehangatan politik menuju PRN Sabah dengan parti-parti dan para pemimpin mula bergerak aktif, namun realitinya kebanyakan pengundi sudah pun membuat keputusan.

Ujarnya, penduduk Sabah tahu siapa yang sentiasa turun padang, siapa yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya, dan siapa yang benar-benar memahami denyut nadi kehidupan harian mereka.

Menurutnya, dalam sistem politik berasaskan parti, parti politik yang sudah lama bertapak lazimnya mempunyai sokongan setia yang terbina melalui pengalaman, khidmat dan kepercayaan.

“Kesetiaan ini bukan mudah digoyahkan dengan janji atau sentimen jangka pendek.

“Seperti seseorang yang sudah biasa minum Coke, bukan mudah baginya untuk menerima Pepsi.

“Dalam politik juga begitu, kesetiaan bukan sekadar soal jenama, tetapi soal kepercayaan yang telah dibina,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor seolah-olah mengesahkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung selama dua hari adalah yang terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan PRN diadakan.

Bagaimanapun, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran DUN dan memaklumkan bahawa pengumuman rasmi akan dibuat kepada media dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast