Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan sokongan bersyarat Pas terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu krisis kehakiman bermaksud mahu `menunggang’.

Sedangkan, kata bekas Menteri Ekonomi berkenaan, sembilan Ahli Parlimen PKR hari ini sudah mula menghantar surat secara rasmi kepada semua Ahli Parlimen termasuk di blok pembangkang berhubung isu terbabit.

Sehubungan itu, jelasnya, surat berkenaan akan memperlihatkan Ahli Parlimen mana yang bersetuju dengan cadangan RCI tersebut serta sebaliknya.

“Bukanlah hak saya nak hukum siapa yang ikhlas atau tidak dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman, seperti mana Pas terus menghukum saya tidak ikhlas selagi tidak sertai perhimpunan mereka.

“Saya minta satu saja, Pas jangan ulang kesilapan semasa skandal 1MDB dahulu. Kami susah payah membuktikan penyelewengan, dia mudah saja pergi jadi auditor dan umum mereka berpuas hati,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan penubuhan RCI berhubung isu badan kehakiman, sekiranya Rafizi turut serta dalam Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.

Menurut Tuan Ibrahim, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa beliau benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.

Terdahulu, Rafizi dalam sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI itu bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Sidang akhbar yang turut disertai enam Ahli Parlimen PKR lain itu turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat; pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan.

Sementara itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen turut membangkitkan berkenaan politik matang yang sering disebut Pas.

Jelas beliau, politik matang bermaksud ahli-ahli politik mengutarakan pandangan mengenai sesuatu isu berkepentingan awam dengan objektif.

“Kalau pandangan itu nampak sama, bukan bermakna kita bersama atas pentas politik kepartian.

“Yang pembangkang, pandangan itu dilihat sebagai membangkang.

“Yang kerajaan, pandangan itu dilihat sebagai menegur. Dua-dua perlu main peranan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast