KUALA LUMPUR – China sekali lagi menyuarakan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif perdagangan yang disifatkan sebagai tidak munasabah.
Negara itu juga menegaskan langkah seumpama itu hanya akan merugikan semua pihak yang terlibat.
Menteri Luar China, Wang Yi ketika ditanya media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Kuala Lumpur dengan ringkas berkata: “Kami menentang tarif yang tidak munasabah,” katanya kepada sekumpulan media di sini hari ini.
Yi bagaimanapun tidak memberi sebarang komen lanjut apabila disoal sama ada beliau akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang turut menghadiri mesyuarat serantau tersebut.
Sebaliknya beliau hanya tersenyum dan terus berteka teki.
Terdahulu, kenyataan lebih tegas dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning di Beijing yang menyelar keputusan Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas import tembaga atas alasan keselamatan negara.
Mao menyifatkan tindakan unilateral itu sebagai ‘sewenang-wenangnya’ dan tidak membawa manfaat jangka panjang kepada mana-mana pihak.
“China menentang sekeras-kerasnya penyalahgunaan konsep keselamatan negara untuk tujuan politik dan perdagangan,” tegas beliau.
Levi yang diumumkan oleh Trump dijangka berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini melibatkan logam tembaga iaitu komoditi penting dalam sektor teknologi dan tenaga hijau.
Langkah itu mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa kerana dilihat mampu mencetuskan ketegangan baharu dalam hubungan perdagangan AS-China. -MalaysiaGazette















