Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan meminta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah untuk memastikan pelaksanaan tujuh langkah mengurangkan beban guru yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) terus diperkasakan.

Langkah-Langkah yang digariskan itu adalah memansuhkan penganjuran acara yang tidak berimpak tinggi, mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan waktu kunci masuk rekod kehadiran murid yang fleksibel.

Selain itu, melantik pengawas peperiksaan awam dalam kalangan individu selain guru, menghadkan penganjuran sambutan Hari Guru kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, menetapkan ringkasan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi serta memperkukuh autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD).

Fadhlina Sidek berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dipertanggungjawab untuk memastikan inisiatif mengurangkan beban tugas guru berjalan seperti yang dirancang.

“Saya mengambil perhatian penuh terhadap isu beban tugas guru seperti yang disuarakan oleh banyak pihak. Isu berpanjangan ini perlu penyelesaian yang tuntas dan menyeluruh. Sedari awal khidmat saya di Kementerian Pendidikan, isu ini sememangnya menjadi perhatian.

“Inisiatif ini telah menunjukkan beberapa kejayaan signifikan termasuk lantikan seramai lebih 11,000 pengawas peperiksaan awam dalam kalangan orang awam, sekali gus mengurangkan beban tugas guru.

“Namun, ia perlu terus diperkasakan bagi memastikan impaknya menyeluruh dan dirasai semua guru,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menuntut komitmen seluruh kepimpinan pendidikan di setiap peringkat untuk memastikan isu beban tugas guru ditangani bersama kerana kesejahteraan guru nadi reformasi pendidikan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast