Lee Zii Jia. Foto Facebook BAM.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk membantu Lee Zii Jia sekiranya pemain badminton perseorangan lelaki profesional itu memerlukan sebarang bantuan termasuk sokongan mental dan rundingan pakar psikologi.

Menterinya Hannah Yeoh berkata, sebarang usaha oleh KBS bagi membantu Zii Jia akan dilakukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau berkata, KBS sememangnya menyediakan perkhidmatan dan sokongan dari ISN termasuk kepada pemain profesional bukan hanya untuk pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“MSN dan ISN telah menghubungi Zii Jia, beliau juga ada nombor telefon saya selain mempunyai akses kepada kepada atlet-atlet senior yang lain dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin. Saya pun pernah jumpa Zii Jia sebelum ini untuk perbincangan Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

“Jadi KBS memang bersedia untuk bantu Zii Jia sebaik yang mungkin jika beliau sudah bersedia untuk bercakap dengan kita,” katanya.

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mencetuskan tanda tanya mengenai tahap kesihatan mental beliau apabila memuat naik hantaran gambar lukisan yang berkemungkinan mempunyai unsur kemurungan di akaun Instagram. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast