KUALA LUMPUR – Malaysia menyeru semua pihak yang berkepentingan agar mengurus ketegangan geopolitik di Laut China Selatan dengan penuh kebijaksanaan dan berhemah bagi mengelak sebarang impak negatif terhadap kestabilan serantau dan keselamatan perdagangan global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin rapuh dan tidak menentu, ASEAN dan China perlu menggandakan usaha bersama ke arah memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini kekal terpelihara.
“Setiap hari kita semakin menyedari betapa rapuhnya keamanan global. Oleh itu, usaha bersama ke arah keamanan serantau adalah lebih penting daripada sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Persidangan Pasca Menteri ASEAN dengan China sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Luar China, Wang Yi, yang juga mempengerusikan bersama persidangan itu dan Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Mohamad menyifatkan hubungan dialog ASEAN-China sebagai salah satu kerjasama paling kukuh dan dinamik, berlandaskan kepercayaan bersama, kepentingan sejagat dan keterikatan ekonomi yang semakin erat.
“Walaupun berdepan cabaran serantau dan global yang semakin kompleks, perkongsian ASEAN-China terus berakar umbi atas aspirasi dan norma bersama yang menjamin rantau ini kekal aman, stabil dan makmur.
“Sebagai Penyelaras Negara ASEAN-China, Malaysia komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan ini agar memberi manfaat nyata kepada rakyat serantau,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, Mohamad menyuarakan keyakinan proses rundingan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan hasil yang berkesan dan bermakna.
“Kita yakin dengan komitmen semua pihak dalam rundingan ini. Ini adalah kerangka penting dalam mengelakkan konflik serta memastikan kebebasan pelayaran dikekalkan. Kita mohon semua pihak mengendalikan sebarang ketegangan di kawasan itu dikendalikan secara berhemah,” katanya.
Wan Yi sebelum ini mengumumkan pencapaian penting dengan bacaan ketiga COC yang sekian lama dinantikan selesai, ini meningkatkan harapan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini dapat mempercepatkan rundingan yang berlarutan menjelang tarikh akhir pada 2026.
Dalam pada itu, ASEAN turut menyambut baik kesediaan China menjadi negara senjata nuklear pertama yang bersetuju untuk menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat.
Mohamad menyifatkan langkah itu sebagai pencapaian penting yang memperlihatkan kepimpinan China dalam menjayakan aspirasi ASEAN untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai rantau bebas senjata nuklear.
“Dengan peningkatan retorik nuklear dan keraguan terhadap rejim bukan penyebaran, komitmen ini adalah satu isyarat positif yang amat dihargai,” katanya.
Sementara itu, dari aspek ekonomi, nilai perdagangan dua hala ASEAN-China meningkat kepada AS$770.94 bilion pada 2024, peningkatan 10.61 peratus berbanding tahun sebelumnya mengekalkan kedudukan China sebagai rakan dagang terbesar ASEAN untuk tahun keempat berturut-turut.
Namun, Mohamad mengingatkan sistem perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan global turut berdepan ancaman.
“Pemeteraian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang dijangka akhir tahun ini adalah langkah tepat pada waktunya untuk memperkukuh daya tahan ekonomi kita.
“Kerjasama ekonomi serantau perlu diperhebatkan, bukan sahaja untuk menghadapi cabaran semasa, tetapi juga untuk menjamin kemakmuran jangka panjang rakyat ASEAN dan China,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















