Keadaan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang yang terbakar pagi tadi. foto media sosial

KUALA LUMPUR –  Pejabat di tingkat dua bangunan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang musnah terbakar keseluruhan, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.18 pagi.

Susulan itu, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dibantu BBP Bangi dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan bangunan sekolah tiga tingkat dan kejadian berlaku di tingkat dua membabitkan sebuah bilik pejabat seluas 30×30 kaki persegi yang musnah terbakar hampir 95 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.58 pagi dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Kerja-kerja pemadaman dan kawalan api dilakukan menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari kedua-dua balai.

“Bagaimanapun punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast