Lokasi nahas maut melibatkan seorang pekerja kilang selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U secara mengejut di Jalan Cheng Perdana, Cheng, Melaka malam tadi.

 

 

MELAKA – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U secara mengejut di jalan garisan berkembar, Jalan Cheng Perdana, Cheng, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 7.20 malam itu, mangsa Ajmal Mat Ali, 36, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala.‎

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Cheng menghala ke Taman Cheng Perdana.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu wanita berusia 52 tahun yang datang dari arah sama di hadapannya tiba-tiba membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan, jalan garisan berkembar.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar sisi kanan kereta mengakibatkannya cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast