Dr Mahathir Mohamad. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada hari ini berpendapat, apabila seseorang itu sudah bersara mereka tidak semesti hanya perlu duduk berehat sahaja.

Negarawan yang mencipta rekod sebagai bekas Perdana Menteri Tertua Masih Hidup berkata, selagi seseorang itu masih hidup, mereka tidak boleh berdiam diri tanpa melakukan apa-apa pekerjaan atau aktiviti yang diminati.

Namun pada masa sama, jelas beliau, apa jua dilakukan itu perlu seimbang dengan tuntutan agama sebagai persediaan sebagai seorang Muslim sebelum meninggal dunia.

“Bila kita masih hidup, kita tidak boleh duduk diam. Saya tidak tahu macam mana orang boleh rehat kononnya sudah bersara, rehat dan bersedia untuk meninggal (dunia).

“Sedia, tidak bersedia, kita akan meninggal. Jadi saya yang itu pun saya buat (persediaan meninggal dunia), lain pun buat jugalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung dalam Podcast Dr. M Episod 10, pagi sempena ulangtahun kelahiran ke-100 di semua platform di sini hari ini.

Podcast yang dijadual bermula pukul 10 pagi itu bersama moderator wartawan berpengalaman, Shamsul Akmar bagaimanapun tertangguh hampir sejam dimulakan gara-gara berdepan masalah teknikal suara.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut menjawab sama perjuangan panjang beliau selama ini boleh dianggap sebagai satu konsep ibadah yang dituntut dalam Islam.

Kata beliau, menerusi pembacaannya menerusi al-Quran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mendapati larangan dalam kitab itu tidak dihiraukan kebanyakan orang Islam dengan melakukan apa yang dilarang.

“Masa saya kecil, saya dengar cerita kononnya dunia ini untuk orang kafir, orang Islam akan dapat balasan di akhirat. Itu saya terima bila orang cakap macam itu.

“Tetapi bila saya membesar, saya menyoal diri saya, tak akanlah Tuhan bagi kebaikan kepada orang kafir, dan kita menderita. Tak betul dan bila saya rasa tidak betul, saya hendak tengok apa yang tertulis dalam al-Quran.

“Jadi saya baca al-Quran dan kalau saya baca dalam bahasa Arab saya tidak faham, saya baca al-Quran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dan saya dapati larangan al-Quran itu kita tidak hirau, yang disuruh kita buat, kita tidak buat,” katanya.

Dr Mahathir juga percaya umat Islam yang berpandu dengan ajaran al-Quran akan berjaya dalam kehidupan mereka.

“Walaupun kita orang Islam, buat ibadat dan sembahyang, berpuasa, zakat, mengerjakan haji tetapi kita tetapi dalam kehidupan kita tidak hidup sebagai orang Islam kerana orang Islam ini ada cara hidup dia, ditentukan dalam al-Quran.

“Sebab itu saya baca al-Quran banyak kali, sekali tidak cukup dan saya dapati kalau kita berpandu dengan ajaran al-Quran kita akan berjaya.

“Kita tidak akan tipu, kita tidak akan bunuh orang, kita tetap akan akan adil, kita tidak zalim, semua ini ajaran dalam al-Quran tetapi kita tidak kita tidak lakukan, kita kata kita Islam, fardu ain kita tunai, fardu kifayah kita dengar orang punya tafsir,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah dalam keluarga guru dan anak bongsu daripada sembilan beradik itu lebih mesra dengan panggilan Che Det.

Beliau yang mewarisi sifat disiplin tinggi dan semangat menuntut ilmu sejak kecil bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar sebelum melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.

Pada 16 Julai 1981, Tun Mahathir mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat bagi menggantikan Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn.

Beliau menjadi perdana menteri paling lama mentadbir negara iaitu selama 22 tahun dan sepanjang tempoh itu, banyak sumbangan diberikan dengan salah satu legasi terbesar adalah Dasar Pandang Ke Timur selain Wawasan 2020 sehingga diberi gelaran Bapa Pemodenan Negara.

Sepanjang era kepimpinan beliau,  antara pembangunan mega dibina seperti Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan projek kereta nasional, Proton yang dianggap ikonik.

Namun, beliau juga tidak terlepas dengan ujian dalam pentadbirannya apabila berdepan krisis kewangan Asia sekitar 1997-1998 namun berjaya melepasi tempoh mencabar itu.

Pada 2018, setelah gabungan politik beliau memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri yang ketujuh.

Meskipun beliau kini telah bersara daripada dunia politik, negarawan itu masih aktif memberikan pandangan dan kritikan pedas sama ada menerusi tulisan dan program bual bicara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan kesejahteraan dan kesihatan berpanjangan buat  Tun M yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar turut menzahirkan harapan agar Tun Mahathir terus dikurniakan ketenangan jiwa dan kekuatan tubuh dalam meneruskan kehidupan.

“Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.

“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap mempunyai harapan yang tinggi,” katanya.

Anwar turut mendoakan agar Tun Mahathir sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Ilahi.

“Semoga ALLAH SWT terus merahmati Tun, insya-ALLAH,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast