Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia di kediamannya semalam selepas 14 hari terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal yang bertembung di Jalan Pasir Penambang di sini pada 25 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima makluman mengenai perkara itu kira-kira pukul 9.10 pagi semalam.

“Pada 9 Julai, mangsa berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia di rumah dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tg Karang bagi urusan bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah traumatic brain injury secondary to motor vehicle crash,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Azaharudin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.44 petang itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha SS2 bertembung dengan sebuah lagi motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang warganegara Myanmar.

“Ketika kejadian, mangsa dari arah Jalan Utama Pasir Penambang menghala ke pasar awam. Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dari lorong kiri membelok ke kanan.

“Dalam masa sama, datang sebuah motosikal Modenas Kriss ditunggang seorang lelaki warganegara Myanmar dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan kepala serta dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi mendapatkan rawatan segera.

“Manakala penunggang motosikal Modenas Kriss yang berusia 31 tahun hanya mengalami luka-luka ringan di bahagian kaki dan siku,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Mereka yang melihat kejadian kemalangan dan mempunyai maklumat lanjut berkenaan kemalangan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast