Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR – Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku urus setia induk Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) mengadakan Mesyuarat Pre-Council CPI Bersama Ketua-ketua Focus Group (FG) yang bertanggungjawab memastikan penambahbaikan CPI di negara ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Kanan BPGN SPRM, Datuk Idris Zaharudin di Putrajaya semalam  dihadiri oleh ketua peneraju serta wakil enam FG CPI bagi mengemas kini tindakan-tindakan terkini yang dilaksanakan oleh setiap FG selaras dengan peranan FG masing-masing.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Idris sebelum ini turut membentangkan sebanyak 10 daripada 60 substrategi di bawah NACS 2024-2028 yang telah berjaya diselesaikan iaitu lima substrategi pada 2024 dan lima lagi sehingga 3 Jun 2025.

Sementara itu, Idris menerusi kenyataan berkata, antara strategi yang berjaya diselesaikan adalah melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu memasukkan minggu tema mengenai etika, nilai-nilai murni dan antirasuah dalam kalendar akademik di sekolah.

Selain itu kejayaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menambah baik pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) di institusi pengajian tinggi selain kejayaan Jabatan perkhidmatan Awam (JPA) dalam menjamin pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi.

“Jabatan Audit Negara (JAN) pula telah berjaya dalam pelaksanaan tindakan bagi memantapkan tatakelola dan fungsi Audit Dalam di Perkhidmatan Awam selain kejayaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggubal perundangan bagi mengawal selia pintu masuk bagi menjamin keselamatan sempadan negara.

“Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) pula berjaya meningkatkan sistem saringan dalam pengambilan kerja penjawat awam selain kejayaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dalam memperkenalkan semula Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025,” katanya.

Sementara itu, menurut Idris, SPRM pula telah berjaya menyelesaikan tiga substrategi NACS berkenaan iaitu mempertingkatkan tatacara pelaporan SPRM dengan mengemas kini status aduan kepada pengadu.

Selain itu SPRM berjaya menganjurkan sesi libat urus dengan penggubal undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri secara tahunan, selain mengkaji kebolehlaksanaan pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda dalam kerangka perundangan Malaysia.

Katanya, kejayaan pelaksanaan 10 substrategi itu bukan sahaja memperkukuh prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, bahkan usaha tersebut berupaya melonjakkan prestasi negara dalam CPI akan datang.

FG yang ditubuhkan pada 3 Oktober 2024 merupakan satu inisiatif oleh Pasukan Petugas Khas CPI yang berperanan dalam membantu usaha menambah baik prestasi negara dalam CPI ke tangga 25 teratas pada tahun 2033 yang mana salah satu daripada inisiatif nasional yang boleh membantu melonjakkan kedudukan CPI Malaysia adalah melalui pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast